Stay Confident, Slim & Active
Cart 0

Mencari ‘Harta Karun’ Di Lorong Kulit, Pulau Pinang

Currency Converter

DI PASAR LAMBAK Lorong Kulit yang terletak di George Town, Pulau Pinang semua benda adalah untuk dijual dan semua harga boleh dirunding.

Juga diketahui ramai jika kasut anda hilang, anda mungkin boleh dapatinya di Lorong Kulit. Inilah yang terjadi kepada pengurus sumber manusia yang telah bersara, Nanda Gopal Naidu, 64.

Sekitar tahun 1990-an, kasut trek kegemaran Nanda Gopal telah dicuri di luar rumahnya dan rakannya mencadangkannya untuk pergi mencarinya di Lorong Kulit.

“Saya ingatkan dia bergurau tetapi dia serius. Jadi saya pergi ke sana dan dapat mencari kasut saya!” kata Nanda, ketawa apabila mengimbas kembali perkara itu.

Goh Soon Cheng mengatakan beliau mendapat stok daripada pemandu lori sampah dan atendan

Nanda Gopal berkata dia telah membayar peniaga tersebut untuk mendapatkan kasutnya kembali. Ceritanya disahkan benar oleh seorang peniaga di  Lorong Kulit, Goh Soon Cheng, 68, yang telah berniaga di sana selama 28 tahun.

Hampir semua benda dijual di Lorong Kulit

Goh menjual azimat daripada Thailand dan kasut terpakai. Perniagaan kasutnya hanya berusia tiga tahun.

“Orang Penang  membuang banyak kasut setiap hari. Pemandu lori sampah kerap datang dengan berbeg-beg  kasut lama untuk dijual. Itulah cara saya mendapatkan stok. “

“Polis memberi amaran bahawa adalah satu kesalahan untuk menjual barangan curi.

“Jika anda tak beli, mereka tidak senang-senang boleh jual barang curi, jadi mereka tidak mempunyai sebab untuk mencuri,” tambah Goh.

Beliau bercerita seorang peniaga kasut di pasar lambak itu menghadapi masalah tersebut.

“Mereka  beli kasut yang dicuri untuk dijual. Suatu hari,  pihak polis dapat tangkap seorang pencuri dan membawanya bertemu peniaga itu untuk mendapatkan kasut tersebut sebagai bukti.

“Pihak polis sangat marah dengan peniaga itu, namun saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu,” kata Goh.

‘Harta Karun’  bagi pengumpul barang-barang lama

Mungkin kasut yang dijual boleh dipakai lagi, namun beberapa benda yang dijual di Lorong Kulit tidak kelihatan bernilai, seperti poskad dan surat peribadi yang mempunyai tulisan dan telah dihantar beberapa dekad lalu.

Gerai itu kelihatan semak kerana ia dipenuhi banyak kertas-kertas dan sampul surat. Peniaga tersebut enggan mengatakan namanya tetapi menegaskan surat-surat lama berharga antara 15 hingga 30sen sekeping.

“Sesetengah orang mungkin mahu mengumpul setemnya  dan ada yang  mahu membaca surat-surat lama. Sentiasa ada pelanggan untuk benda-benda sebegini jadi saya terus menjualnya. “

Peniaga tersebut  menggumamkan sesuatu yang tidak dapat difahami apabila ditanya bagaimana dia memperoleh koleksi surat-surat lama yang begitu banyak.

Sebaliknya, pelanggan tetapnya Peter Chang, merupakan seorang lelaki 72 tahun yang ceria. Warga emas dari Kuala Lumpur itu berkata dia kerap berkunjung ke gerai ini menghabiskan lebih kurang sejam duduk di bangku rendah, mengambil masa beliau meneliti poskad-poskad lama.

Bangunan-bangunan dan orang-orang yang dipaparkan di dalam poskad ini sangat berbeza dari masa kini. Inilah yang saya hargai, ” kata Chang, tidak mengalihkan pandangannya dari cariannya.

Dia akan melihat gambarnya dan kemudian menterbalikkannya untuk membaca apa yang ditulis oleh penghantarnya.

“Awak masih muda. Awak tidak akan menghargai perkara-perkara seperti ini. Poskad-poskad lama berharga  kerana cara lama ia  dicetak menjadikan gambarnya lebih cantik.”

Tetapi kegembiraan sejati di pasar lambak Lorong Kulit adalah mencari barang-barang lama yang boleh dikumpul, seperti gulungan pancing dan rod buatan jenama terkenal yang tidak lagi dihasilkan kini.

Juga terdapat alat tukangan vintaj Jerman yang diperbuat daripada keluli yang sangat berkualiti yang kini sangat sukar dijumpai di kedai-kedai perkakasan dan tembaga. Ia tidaklah mahal  tetapi dibuat secara tradisional oleh ahli tukangan yang sudah lama meninggal dunia  dan kemahiran mereka juga tidak diwarisi oleh orang lain.

Terdapat juga  pinggan mangkuk China berkualiti yang mempunyai corak yang tidak  lagi  dijual kompleks membeli-belah hari ini serta permainan-permainan  klasik yang membangkitkan kenangan lama.

Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (Bersara) Abdullah Hassan, 62, menjual barang-barang hiasan kecil yang anda fikir anda tidak akan temui lagi.

Surat meninggalkan sekolah milik individu yang lahir pada tahun 1933

Mejanya yang dilindungi payung dipenuhi kurang daripada seperempat daripada barang-barang yang ada di dalam van miliknya.

Anda mesti bermulut manis dengan pengumpul hebat  ini, kerana hanya selepas dia yakin bahawa anda menghargai barang-barangnya dia akan mengeluarkan barang yang berkualiti.

Adakah anda akan terharu melihat foto perkahwinan pasangan dari  tahun 50-an, 60-an atau 70-an?

Adakah muka surat depan Sunday Gazette  (surat khabar Pulau Pinang lama) bertarikh  17 Mei 1952 membuat diri anda dipenuhi dengan rasa ingin tahu?

Abdullah dengan muka depan Sunday Gazette dari tahun 1952

Bagaimana dengan perjanjian sewa  milik seseorang yang bertarikh 1928?

Abdullah berkata, apabila anda membuang barang-barang lama, ia  tidak semestinya hilang.

Pengendali trak sampah dan orang-orang di tapak pelupusan kadang-kadang akan mengambil barang-barang ini  dan membawanya ke Lorong Kulit.

“Anda mungkin fikir ia tidak berguna lagi, tetapi bagi orang lain, ia mempunyai makna yang tersendiri,” katanya.

Sumber: Star



Older Post Newer Post


Leave a comment