Be Confident Slim & Active
Cart 0

Ibu bapa dan Pendidikan Awal Kanak-kanak

activity Famili family health Kahwin Keluarga Kesihatan pendidikan Psikologi Rumahtangga

Ibu bapa dan Pendidikan Awal Kanak-kanak

Umum mengetahui pendidikan kanak-kanak bermula di rumah. Ibu-bapa merupakan penyumbang terpenting kepada pembangunan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai ibu-bapa yang membaca untuk mereka didapati mempunyai perkembangan membaca yang lebih pesat dan mereka cenderung untuk lebih cemerlang berbanding kanak-kanak lain.

 

 

  • Namun, jangan anggap  apabila anak anda memulakan pengajian di tadika atau pra-sekolah, tugas anda telah selesai. Kajian terus menunjukkan kepentingan untuk melibatkan diri  dalam pendidikan kanak-kanak bermula dari pra-sekolah dan terus kekal berbuat demikian sehingga mereka berada di kolej
  • Kanak-kanak yang mempunyai ibu-bapa yang mengambil perhatian terhadap pelajaran anak-anak mereka akan lebih cemerlang di sekolah
  • Antara pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan kejayaan di sekolah: Suasana di rumah yang mendorong pembelajaran terbukti lebih penting daripada faktor pendapatan isirumah ataupun latar belakang budaya
  • Penglibatan ibubapa dan aktiviti pembelajaran di rumah adalah penting untuk perkembangan membaca seorang kanak-kanak. Membaca dengan kuat kepada anak anda mungkin merupakan aktiviti paling penting yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan peluang mereka untuk berjaya membaca

 

 

Ada pelbagai cara di mana anda boleh melibatkan diri dalam pembelajaran anak anda. Dalam apa jua yang anda lakukan, adalah penting bagi anda dan anak anda untuk tidak menganggap bahawa aktiviti-aktiviti yang bakal anda lakukan sebagai kerja. Aktiviti-aktiviti ini akan lebih efektif jika dipakejkan sebagai masa berkualiti ibu-bapa dan anak. Oleh itu, cuba pastikan aktiviti-aktiviti ini menyeronokkan dengan sebaik mungkin.

Berikut ialah antara aktiviti-aktiviti yang boleh memberi impak positif terhadap perkembangan keseluruhan anak anda:

 

Membaca untuk/dengan anak anda

Pastikan yang anda meluangkan masa setiap hari membaca untuk/dengan anak anda.  Mulakan dengan cerita-cerita dongeng ataupun pengembaraan dan kemudian beransur-ansur ke buku-buku sejarah, seni dan sains. Ini akan memberikan impak yang besar terhadap perkembangan membaca anak anda. Anda juga harus menggalakkan anak anda untuk membincangkan apa yang telah dia baca, bertanya tentang watak-watak di dalam cerita atau apa sahaja yang mereka rasakan menarik. Apa yang paling penting ialah untuk mengekalkan minat kanak-kanak tersebut ketika membaca dan pastikan aktiviti itu terasa ringan dan menyeronokkan

 

 

 

Menulis surat

Menulis surat seperti telah menjadi khazanah seni yang telah hilang ditelan zaman Internet masa kini. Pada zaman-zaman sebelum ini, kanak-kanak diberi kepercayaan untuk menulis surat dan kad-kad ucapan kepada datuk, nenek dan kaum kerabat mereka yang lain. Meskipun tarikan Internet begitu mendesak, anda seharusnya menggalakkan kanak-kanak untuk menulis surat kepada datuk dan nenek, dengan syarat anda menjadikan aktiviti ini sebahagian daripada permainan atau cerita yang boleh mereka nikmati. Ini tentu sekali akan meningkatkan lagi perkembangan menulis anak anda

 

 

 

Gunakan TV dan Internet sebagai alat pembelajaran

Televisyen dan Internet akan sentiasa menjadi godaan yang sukar dielakkan oleh anak-anak anda. Namun, dengan mengekang jumlah masa yang boleh anak anda gunakan untuk berada di hadapan TV atau Internet dan menonton program pendidikan bersama mereka, anda boleh memastikan media-media ini berfungsi sebagai alat untuk mereka belajar

 

Jadilah sukarelawan

Pembabitan anda tidak seharusnya terhad kepada persekitaran di rumah. Jadilah sukarelawan untuk membantu di tadika atau aktiviti-aktiviti sekolah. Sesetengah pra-sekolah ada menganjurkan aktiviti-aktiviti di mana ibu-bapa boleh datang dan membacakan buku cerita untuk kanak-kanak. Ini dapat membantu mewujudkan rasa kesinambungan di antara rumah dan pra-sekolah. Ianya mungkin akan dianggap kekok pada mulanya, namun ia akan dapat menjadi contoh yang baik untuk anak anda

 

Oleh: AJARSAYA Educational Resources



Older Post Newer Post